♫ TEMA ♫


          Persoalan pokok dalam novel MELUNAS RINDU adalah kasih sayang. Hal ini demikian kerana persoalan kasih sayang diungkapkan dalam setiap aspek penceritaan peristiwa yang berlaku kepada watak utama dan watak sampingan. Bermula daripada kasih sayang seorang anak kepada ibu bapa sama ada ibu bapa sebenar atau ibu bapa angkat, kasih sayang kepada sahabat, kasih sayang kepada teman seperjuangan dalam bidang pendidikan, kasih sayang kepada penciptaNya, kasih sayang kepada anak murid, kasih sayang kepada profesion perguruan, kasih sayang kepada tanah dengan cara berbudi kepada tanah dan sebagainya. Dapat dikatakan bahawa tidak satu inci ruangpun dalam novel ini yang tidak memaparkan persoalan kasih sayang. Dan kerana kasih sayang jugalah timbul kegigihan, kesungguhan dan keikhlasan watak utama dan sampingan untuk mencari jati diri sebagai seorang muslim sejati dan anak yang bertanggungjawab kepada keluarga sendiri. Kasih sayang yang dipaparkan oleh pelbagai watak dalam novel ini bak lautan yang tak bertepi, bahkan jika ada sedikit pergeseran akan segera diselesaikan bak kata pepatah, "biduk lalu kiambang bertaut". Kasih sayang yang wujud secara ikhlas dari dalam diri membolehkan watak utama dan sampingan menerima semua suratan yang ditakdirkan dengan rasa rendah diri dan bersyukur kepada penciptaNya.